Berita Semasa

Wisma Putra panggil balik semua anggota keluarga Kedutaan Besar Malaysia di Lebanon

PUTRAJAYA – Kesemua anggota keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lebanon dipanggil kembali ke Malaysia berikutan kawasan selatan negara itu turut diserang Israel.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam berkata, langkah proaktif itu diambil bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara.

“Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa,” kata Wisma Putra dalam kenyataan tersebut, semalam.

Semua warga Malaysia turut disaran supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke Lebanon.

Pada masa yang sama, kerajaan turut mengarahkan pihak kedutaan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di negara itu, termasuk pasukan pengaman Angkatan Tentera Malaysia – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ATM-PBB) iaitu MALBATT yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaaan boleh berhubung dengan pihak kedutaan di talian +961 (1)1970207 (pejabat) atau +961-71380063 (bimbit) atau email mwbeirut@kln.gov.my.

Ketika ini, kawasan selatan Lebanon turut menjadi sasaran bedilan roket Israel susulan konflik dengan Palestin sejak 7 Okt lepas.

Pada Jumaat, wartawan Reuters, Issam Abdullah terbunuh dalam serangan rejim Zionis ketika sedang bertugas berhampiran sempadan negara itu dengan Israel.

Serangan itu turut mencederakan enam yang lain termasuk wartawan AFP dan Al Jazeera.

Show More

Related Articles

Back to top button