Penyakit X berpotensi cetus wabak di seluruh dunia – KKM
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi bayangan “Penyakit X” yang kini sedang menjadi tumpuan banyak pihak berpotensi menyebabkan wabak di seluruh dunia.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Penyakit X adalah istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018 yang merujuk kepada sejenis patogen yang tidak diketahui.
Katanya, penularan Penyakit X boleh berasal dari pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia.
“Kadar penyebaran Penyakit X akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan, ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Radzi berkata, bagi pemantapan kesiapsiagaan menghadapi penyakit ini, pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting seperti yang disarankan oleh WHO.
Katanya, pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan, dan kerjasama antarabangsa.
Selain itu, katanya, pendekatan “One Health” yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin.
“Penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap Penyakit X,” ujarnya lagi.
Menurut Radzi lagi, KKM sentiasa bersiapsiaga dan berwaspada terhadap kemungkinan munculnya Penyakit X berdasarkan pengalaman lalu dalam menangani penyakit seperti Covid-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV.
Jelasnya, sistem kesihatan negara juga sentiasa diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman kesihatan yang mungkin berlaku.
“Walaupun kemungkinan berlakunya Penyakit X perlu diberi perhatian, namun kebimbangan berlebihan perlu dielakkan.
“Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini,” ujarnya lagi.