Luar Negara

Lebih 100 termasuk pengantin terbunuh dalam kebakaran majlis perkahwinan

NINEVEH – Pihak berkuasa Iraq menganggarkan lebih 100 terbunuh manakala 150 cedera dalam kebakaran sebuah dewan ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung di daerah Hamdaniya di wilayah ini.

Kejadian pada malam tadi itu dikatakan berpunca daripada penggunaan bunga api berhampiran pentas pengantin yang menyebabkan bahagian bumbung dewan disambar api.

Pasangan pengantin antara yang disahkan terbunuh dalam tragedi itu, lapor media antarabangsa.

Video yang tular menunjukkan puluhan anggota bomba berada di lokasi kejadian dan orang ramai yang berada di luar dewan menjerit meminta pertolongan.

Timbalan Gabenor Nineveh, Hassan al-Allaq berkata, api marak dengan begitu cepat kerana dengan menggunakan bahan mudah terbakar dipercayai sebahagian daripada penebat bunyi pada bumbung dan dinding.

Saksi kejadian, Imad Yohana berkata, kebakaran yang marak dengan begitu cepat mencetuskan panik menyebabkan tetamu berasak di pintu untuk menyelamatkan diri.

“Ramai yang terperangkap tidak dapat keluar ketika api marak. Yang dapat keluar pun ada yang mengalami patah tulang,” katanya.

Mangsa yang maut dan cedera di hantar ke hospital di Mosul dan orang ramai mula datang untuk menderma darah.

Show More

Related Articles

Back to top button