Berita Semasa

Abang tiri diberkas bantu siasatan kematian kanak-kanak perempuan di kolam renang

KAJANG – Seorang lelaki berusia 26 tahun diberkas polis bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mati lemas dalam kolam renang di sebuah pangsapuri di Bangi, dekat sini.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang merupakan abang tiri mangsa ditahan pada Ahad lalu selepas polis meneliti perlakuan suspek yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Penelitian mendapati ketika kejadian suspek yang merupakan abang tiri mangsa turut berada di lokasi namun suspek dilihat leka ketika mangsa sedang lemas tanpa bertindak menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Siasatan mendapati pada kira-kira 3 petang, mangsa maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di apartment tersebut sebelum dibawa ke klinik dan kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Tambahnya, kes pada awalnya diklasifikasikan kematian mengejut.

Katanya, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 IPD Kajang bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

Kes disiasat bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes, Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button