Berita SemasaPM X

PM tiba di Nanning, ketuai delegasi Malaysia ke CAEXPO 2023

NANNING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Nanning di selatan China bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) yang berlangsung dari 16 hingga 19 September.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu pada pukul 3.54 pagi tadi (waktu tempatan).

Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, S. Sanmugam dan Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Ahmad Phadil Mohamed Ismail.

Turut menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Ahli Jawatankuasa Tetap Parti Komunis, China Wenhao.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadual berucap pada majlis perasmian ekspo itu dan CABIS bersama-sama Perdana Menteri China, Li Qiang serta pemimpin ASEAN lain termasuk dari Laos dan Vietnam.

Beliau juga akan merasmikan Astaka Malaysia di CAEXPO.

Selain itu, pPerdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Li dan kedua-dua pemimpin akan membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Li.

Perdana Menteri juga dijangka mengadakan sesi libat urus dengan gergasi korporat China selepas itu.

Ini merupakan kunjungan kedua Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas lawatan sulungnya ke republik itu pada Mac lalu di mana beliau melawat Beijing dan Hainan selepas dilantik pada November 2022.

Lawatan pertama beliau menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Show More

Related Articles

Back to top button