Berita Semasa

Tangani gejala Islamofobia, Malaysia hantar 3 kontena al-Quran ke 3 negara – PM

PUTRAJAYA – Sebanyak tiga kontena al-Quran akan dihantar ketiga buah negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom sebagai pendekatan berhikmah bagi menangani gejala Islamofobia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek Wakaf Sejuta al-Quran dengan kerjasama Yayasan Restu dan Nasyrul Quran melibatkan 30,000 naskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dengan diiringi terjemahan bahasa Cina.

“Usaha wakaf sejuta Qur’an menghadirkan suatu isyarat yang jelas bahawa keganasan tidak dapat dihapuskan dengan keganasan.

“Malaysia berhasrat menggunakan pendekatan berhikmah bagi menangani gejala Islamofobia ketimbang pendekatan reaksionari (bertindak balas) yang berdasarkan emosional,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluncurkan Majlis Penghantaran 3 Kontena Wakaf Sejuta Quran di Nasyrul Quran, di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, projek itu melibatkan dua fasa iaitu antara 2023 hingga 2025 bagi tugas melengkapkan cetakan sejuta naskhah terjemahan al-Quran pelbagai bahasa.

Anwar berkata, sebanyak 15 bahasa disasarkan bagi fasa pertama dan 15 lagi untuk fasa kedua.

“Usaha Kerajaan Perpaduan menyokong inisiatif ini adalah konsisten dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan Al-Quran khususnya mengungkap semangat Madani yang menjunjung nilai dan akhlak bertunjangkan agama,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut sempat menunaikan solat Jumaat di Nasyrul Quran dengan diimamkan oleh ulama dari Mesir, Shaykh al-‘Allamah al-Muhaddith Dr. Mustafa al-Nadawi manakala khutbah Jumaat yang disampaikan oleh mantan Ketua Pengarah Kor Agama Tentera Darat (KAGAT), Mejar Jeneral (B) Datuk Nawawi Daud.

Show More

Related Articles

Back to top button