Berita Semasa
Rajinikanth berhasrat masukkan kisah perjuangan PM dalam filem baharu
- PUTRAJAYA – Bintang filem India, Rajinikanth berhasrat memasukkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesengsaraan dan penderitaan rakyat dalam filem baharunya nanti.
Perdana Menteri berkata, hasrat itu dimaklumkan kepadanya ketika menerima kunjungan bintang filem itu di pejabatnya di sini hari ini.
“Hari ini saya menerima kunjungan bintang filem India, Rajinikanth yakni satu nama yang tidak asing lagi di pentas dunia seni asia dan antarabangsa.
“Saya hargai penghormatan yang diberikan beliau terhadap perjuangan saya khasnya terkait isu kesengsaraan dan penderitaan rakyat.
“Antara yang dibincang secara santai pastinya berkaitan elemen kemasyarakatan yang saya perjuangkan untuk dimasukkan dalam filem-filem beliau kelak,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook rasmi beliau.
Sementara itu, Anwar turut menitipkan doa agar Rajinikanth terus cemerlang dalam lapangan dan dunia perfileman.