Politik

MUDA sudah tidak relevan, tarik sokongan bila kalah dalam PRN lalu – Razlan

KUALA LUMPUR – Tindakan parti MUDA menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan tidak lebih daripada muslihat politik selepas kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Razlan Rafii berkata, MUDA sudah tidak relevan selepas semua calonnya hilang deposit pada PRN di enam negeri bulan lalu.

“Menggunakan alasan keputusan Jabatan Peguam Negara melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak relevan kerana dari awal lagi MUDA tidak mendapat sokongan malah bergerak sendiri.

“Jadi apa rasional MUDA mahu menggunakan alasan DNAA itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengumumkan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan semalam.

Dengan keputusan itu, MUDA yang diwakili oleh Syed Saddiq yang juga merupakan satu-satunya wakil parti itu akan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Razlan berkata, MUDA sengaja menggunakan alasan DNAA yang dihadapi Presiden UMNO untuk mengaburi mata ahli dan penyokongnya.

“Ini semua adalah modal politik yang tidak berpaksikan fakta kerana dia kena faham keputusan mahkamah (kes Zahid) dibuat oleh bekas Peguam Negara,” kata setiausaha politik kepada Ahmad Zahid itu.

Bahkan beliau menegaskan Syed Saddiq supaya tidak melupakan kes mahkamah yang dihadapinya melibatkan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram ketika mengetuai Pemuda Bersatu.

Sementara itu, Razlan berkata pendirian Syed Saddiq menunjukkan parti pimpinannya tidak mempunyai prinsip dan hala tuju jelas.

“Kalau dia tahu sudut politik, dia perlu jadi matang untuk melihat kepada perlembagaan parti dan hala tuju sebenar partinya.

“Kejap sokong, kejap tak sokong, kejap bantah kejap tak bantah. Jadi saya rasa Muda sebuah parti tidak ada prinsip apabila berparti,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button