Berita Semasa

Tuanku Najihah mangkat

SEREMBAN – Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin dilaporkan mangkat pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim memaklumkan, Almarhumah  mangkat pada pukul 6.53 pagi tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

Beliau dalam satu kenyataan turut memaklumkan, jenazah Almarhumah yang juga bekas Raja Permaisuri Agung akan disemayamkan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah dan akan dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti pada hari ini, selepas waktu Asar.

“Tempoh perkabungan bagi kemangkatan Almarhumah Yang Maha Mulia Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan adalah selama satu hari iaitu pada hari ini, Jumaat bersamaan dengan 8 September 2023.

“Selepas sahaja pengumuman ini, semua bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang di seluruh Negeri Sembilan pada hari ini sepanjang tempoh perkabungan yang ditetapkan.

“Semua masjid dan surau di Negeri Sembilan digalakkan mengadakan majlis tahlil dan doa untuk Almarhumah Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin dalam tempoh hari perkabungan,” kata Mohd Zafir dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button