Kerajaan akan pertimbang semula syarat kemasukan OKU dalam program TVET
JOHOR BAHRU – Syarat kemasukan pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dipertimbangkan semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.
“Majlis TVET dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid, saya akan beritahu dia walaupun ada kelonggaran untuk OKU, tetapi janganlah kenakan syarat seperti dua tangan. Syaratnya mesti yang ada keupayaan.
“Insya-Allah ini boleh, kita beri ruang (melihat semula syarat-syarat TVET bagi pelajar OKU) dan saya rasa tiada masalah,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alumni UTM, Dr. Ruzimi Mohamed sewaktu sesi soal jawab program ‘Temu Anwar’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Ruzimi dalam soalannya memaklumkan, ada OKU yang boleh melukis dan menulis menggunakan kaki dan mulut, sedangkan permohonan program TVET meletakkan syarat perlu ada dua tangan.
“Saya faham ada program TVET yang tidak sesuai dengan pelajar OKU, tetapi tidak ada pengukuran. Perlu ada mekanisme baru untuk melihat syarat kemasukan pelajar OKU mengikut keupayaan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan persetujuan dan akan membawa isu kuota pekerjaan satu peratus golongan OKU dalam kementerian dan agensi kerajaan dalam masyuarat Jemaah Menteri.
“Saya setuju. Saya akan bawa (isu kuota pengambilan pekerja OKU) dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya dapat pastikan semua agensi kerajaan dan kementerian melaksanakan pngambilan pekerja OKU mengikut kuota satu peratus,” katanya lagi.