Remaja berusia 17 tahun bunuh rakan berhadapan hukuman mati
TELUK INTAN – Seorang remaja lelaki yang berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas tuduhan membunuh rakannya, dua minggu lalu.
Memetik laporan Astro Awani, pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh dan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh P. Hariaran, 21, di tepi jalan pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Selekoh, Bagan Datuk, antara jam 6 petang hingga 8.30 malam, 20 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan DNA dan patologi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam Charanjit Singh.
Pada 28 Ogos lalu, media melaporkan polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kerana disyaki membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit.
Mayat dikenal pasti seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan mereka berdua adalah rakan dan jiran di sebuah taman perumahan di Teluk Intan.
Siasatan awal polis mendapati punca pembunuhan adalah disebabkan suspek cemburu kepada si mati kerana mengganggu teman wanitanya yang berusia 20 tahun.
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian disebabkan oleh luka potongan pada bahagian kepala dan leher.