Jenayah & Mahkamah

Op Tiris: KPDN rampas 4.31 juta liter minyak diesel subsidi

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 4.31 juta liter minyak diesel subsidi bernilai RM9.23 juta menerusi Op Tiris yang dijalankan pada Mac lalu hingga semalam.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan tersebut adalah hasil daripada 459 kes penyeludupan dan penyelewengan yang direkodkan di seluruh negara tahun ini.

Katanya, pelbagai aset serta peralatan lain bernilai yang dianggarkan bernilai lebih RM25.24 juta juga turut disita, sekaligus menjadikan keseluruhan rampasan minyak dan aset berjumlah RM34.48 juta.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 10,351 pemeriksaan dilakukan, manakala sebanyak 121 aduan diterima berhubung isu berkaitan dalam tempoh sama.

“Kami turut menahan 379 indvidu melibatkan 305 warga tempatan, 71 warga asing dan tiga pemastautin tetap,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Op Tiris Fasa 2.0 sehingga 31 Disember depan.

Katanya, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan bagi Op Tiris Fasa 2 dari sudut siasatan dan risikan bagi mengenal pasti rantaian penyelewengan merangkumi pengusaha stesen minyak, penyeludup serta pembeli dari dalam mahupun luar negara.

Tambahnya, selain minyak diesel, Op Tiris Fasa 2 juga akan memberi fokus kepada barangan lain yang boleh diseleweng seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras dan gula.

“Ini bertujuan mendapatkan gambaran terperinci berhubung keseluruhan rantaian pasaran gelap minyak diesel yang disyaki turut melibatkan sindiket,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).

Sementara itu, Armizan turut memaklumkan satu unit baharu yang dipanggil Unit Risikan Perniagaan (Business Inteligence Unit) akan mula beroperasi berkuat kuasa 1 September ini.

Menurut beliau, penubuhan unit di bawah selian KPDN itu ditubuhkan bagi menjalankan tugasan perisikan perniagaan di pasaran negara ini.

Jelasnya, anggota unit berkenaan adalah terdiri daripada anggota penguatkuasa sedia ada yang akan menjalankan tugas melibatkan isu-isu berkaitan sektor barangan kawalan bersubsidi serta hal ehwal kos sara hidup.

Show More

Related Articles

Back to top button