Jenayah & Mahkamah

Insiden gaduh restoren mamak, polis tahan tiga lelaki

CYBERJAYA – Polis telah menahan tiga lelaki kerana terlibat dalam insiden gaduh di sebuah restoren mamak di Cyberjaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiga suspek yang ditahan berusia 50 dan 51 tahun ditahan di dua lokasi berbeza.

“Penahanan pertama dibuat pada pukul 1.40 pagi di pekarangan Balai Polis Cyberjaya, manakala dua lagi ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada kira-kira pukul 10 pagi.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324, Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Wan Kamarul Azran menjelaskan, insiden amukan itu dipercaya berpunca tindakan pekerja yang menegur perbuatan salah seorang lelaki disyaki mabuk mengambil makanan dengan menggunakan jari.

Katanya, pengurus premis restoran terkenal itu dimaklumkan mengenai kejadian terbabit menerusi panggilan daripada pekerjanya kira-kira jam 7.30 petang.

Menurutnya, pengurus berusia 48 tahun yang bergegas ke premis mendapati beberapa barangan telah dirosakkan seperti pinggan, selain lauk yang tercemar dan terpaksa dibuang.

“Siasatan awal polis mendapati tiga lelaki tempatan datang ke restoran terbabit untuk makan.

“Salah seorang daripada lelaki itu kemudian telah menggunakan jarinya untuk mengambil lauk di bahagian nasi kandar dalam keadaan mabuk.

“Kemudian pekerja premis telah menegur supaya tidak membuat sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat ditegur, suspek telah bertindak agresif dan memukul pekerja premis.

Katanya, salah seorang suspek turut menggunakan penyepit makanan besi untuk memukul pekerja (mangsa) pada bahagian kepala dan badan.

Show More

Related Articles

Back to top button