Imigresen tumpaskan Sindiket Dudley
CYBERJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di Sarawak, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket yang dikenali dengan nama Sindiket Dudley itu dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan negara dibuka semula.
Modus operandi sindiket ini adalah menjanjikan pekerjaan di atas kapal kepada mangsa yang akan dibawa ke Malaysia melalui KLIA bagi membolehkan mangsa mendapat penerbangan ke Miri dan Sibu, dengan mangsa dikenakan bayaran sekitar RM20,000 hingga RM25,000 seorang.
“Dalam operasi ini, pasukan berjaya menyelamatkan 12 orang lelaki warganegara India yang menjadi mangsa kepada sindiket ini.
“Lima anggota sindiket berjaya ditahan, yang terdiri daripada ketuanya iaitu seorang lelaki rakyat tempatan berumur 40 tahun yang dikenali sebagai ‘Dudley’ dan empat orang lelaki warganegara India berumur antara 25 hingga 40 tahun,” kata Ruslin dalam satu kenyataan, hari ini.
JIM turut merampas wang tunai sebanyak RM600, 75 naskah pasport India, 7 naskah pasport Indonesia, 3 naskah pasport Myanmar, 4 buah komputer riba, dan tiga buah kenderaan (Toyota Land Cruiser, Honda City Suzuki Vitara).
“Dalang utama sindiket kini direman selama tujuh hari manakala empat lelaki warga India yang bertindak sebagai pembantunya ditahan di Depot Imigresen Semuja..
“Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan mangsa ATIPSOM,” kata Ruslin lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.