Berita Semasa

Tukar pinjaman kepada geran: ‘Pulihkan ekonomi negara dahulu’

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berpendapat, permohonan status pinjaman Kerajaan Melaka tidak sesuai ditukar kepada bentuk geran susulan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu pada ketika ini.

Menurut Rubiah, usaha pertukaran tersebut merupakan suatu perkara yang baik, namun ia memerlukan komitmen daripada Kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Jelasnya, beliau juga tidak menafikan pinjaman wang tersebut adalah bagi memastikan kemajuan dan pembangunan dilaksanakan di negeri berkenaan.

“Usaha untuk menukar status pinjaman kepada geran yang dilakukan Kerajaan Melaka adalah sesuatu yang baik, namun ia perlu mendapat komitmen daripada Kerajaan Persekutuan terlebih dulu.

“Bagaimanapun, pada masa ini ia tidak boleh dilakukan kerana kita sedang menstabilkan kedudukan ekonomi negara,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pelancaran Bulan Kebangsaan serta Kibar Jalur Gemilang di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Kerajaan Melaka memohon Kerajaan Persekutuan dapat menimbang semula permohonannya bagi menukar status pinjaman berjumlah RM633.31 juta kepada bentuk geran, memandangkan kebanyakan pinjaman itu dibuat bagi tujuan keperluan asas, kebajikan dan sosial rakyat.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan itu dibuat sebagai sumber peruntukan oleh kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan, yang dimeterai sejak 1970-an hingga 2015.

Show More

Related Articles

Back to top button