Ahmad Dusuki kalah saman, diperintah bayar RM10,000
KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini memerintahkan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd. Rani membayar RM10,000 kepada Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Mohd. Zulhazmi Hassan selepas rayuannya berkait isu aset Tabung Haji (TH) yang didakwa dijual kepada bukan Islam ditolak.
Hakim, Datuk Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati video Zulhasmi, yang turut dikenali sebagai Jeming, bukan fitnah kerana terbukti aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.
Roslan turut mendapati kenyataan Dusuki itu boleh memberikan kesan negatif kepada umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 30 Ogos 2022 lalu telah menolak tuntutan Dusuki dengan kos sebanyak RM10 ribu dikekalkan.
Ahmad Dasuki diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob sementara Jeming oleh Muhammad Faiz Fadzil.