Berita Semasa

Pesawat terhempas : Kerajaan sedia tanggung semua keperluan waris mangsa

KLANG – Kerajaan sedia menyediakan sebarang bentuk bantuan diperlukan oleh waris atau keluarga mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16, dekat sini, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui agensi dan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan dalam usaha meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.

“Setakat ini kita bagi semua bantuan yang diperlukan,
semua kelengkapan, untuk pengurusan jenazah, penginapan dan apa saja bentuk bantuan terutama waris mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya mohon keluarga terus bersabar. Tiada siapa yang boleh jangka (kemalangan berlaku). Kerajaan akan bantu untuk ringankan beban waris,” katanya semasa melawat keluarga mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, (HTAR) hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari , Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, fokus utama pada ketika ini adalah untuk mempercepatkan proses pengesahan DNA, yang juga akan diuruskan oleh kerajaan.

Semalam sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.

Nahas turut mengorbankan seorang penunggang dan pemandu e-hailing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid dalam sidang media pagi tadi berkata, proses pencarian di lokasi nahas selesai 95 peratus dengan kesemua mangsa telah ditemui termasuk pita rakaman suara kokpit pesawat malang itu.

Show More

Related Articles

Back to top button