Berita Semasa

Jenazah nahas pesawat boleh dituntut seawal Isnin – KPN

KLANG – Proses bedah siasat dan pengecaman kesemua 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16, di sini, semalam, dijangka akan selesai seawal Isnin depan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Razarudin, Jabatan Kimia perlu mengambil masa bagi membuat pengecaman cebisan anggota badan mangsa menerusi proses bedah siasat dan pengesanan identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Terdapat lebih 200 cebisan dan diperlukan antara satu hingga tiga jam untuk mengenal pasti setiap satu daripadanya oleh Jabatan Kimia untuk dipadankan kepada tubuh yang terpisah. Proses sama terpaksa diulang-ulang supaya padanan dapat dilakukan dengan tepat.

“Paling awal jenazah dapat dibawa keluar adalah pada Isnin depan,” katanya dalam sidang akhbar di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, petang ini.

Tambah beliau, pihak polis dan hospital akan menghubungi waris dan ahli keluarga mangsa sekiranya  keputusan kesemua ujian tersebut sudah lengkap.

“Kita juga berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan mereka bersetuju untuk menguruskan jenazah seperti memandik, mengkafan, menunaikan solat jenazah dan membawa jenazah ke tempat pengebumian yang waris pilih.

“Bagi pihak polis pula, kita (anggota trafik) akan mengiringi van jenazah dari hospital sehingga tempat pengebumian,” ujarnya.

Katanya lagi, Razarudin berharap semua waris mangsa bertenang sementara menunggu proses bedah siasat dan pengesanan DNA selesai,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kesemua 10 mayat mangsa berjaya ditemukan pada jam 10.30 malam tadi bersama 15 bungkusan cebisan anggota badan yang dibawa bersama ke HTAR kira-kira pukul 12.30 tengah malam hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button