Berita Semasa

Peranti Starlink dipasang di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah

KUALA LUMPUR – Peranti internet berteknologi satelit Starlink kedua dipasang di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah di sini.

Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil dalam hantaran di Facebooknya berkata, Kampung Orang Asli Hulu Kemensah dipilih sebagai kampung orang asli pertama untuk pemasangan Starlink.

Peranti Starlink itu adalah yang kedua selepas pemasangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada bulan lalu.

Beliau berkata, operasi peranti itu diharap akan menyelesaikan masalah capaian internet yang lemah di kawasan itu.

“Apabila saya turun ke sana pagi tadi, kualiti internet sedia ada sangat teruk. Hampir tiada. Sedangkan ada 135 penduduk yang tinggal di sana.

“Matlamat saya masih sama, iaitu memastikan baki 3 peratus kawasan berpenduduk yang masih tiada internet, diberi keutamaan,” katanya.

Dalam hantaran itu, Fahmi berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menjalankan kajian penyelesaian jangka panjang, termasuk pembinaan menara dan pemasangan gentian optik di kawasan berkenaan.

“Semoga perkhidmatan internet ini memberi sinar baharu kepada penduduk setempat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Julai mengumumkan kerajaan membeli 40 unit peranti internet Starlink dari Elon Musk selepas mengadakan persidangan maya dengan individu terkaya dunia itu.

Perolehan itu bertujuan menaik taraf kualiti capaian internet di institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button