Politik

Peruntukan Kelantan sekarang lebih tinggi dari zaman PN – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman dalam perdebatan dengan Menteri Ekonomi malam semalam sebagai tidak berfakta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dakwaan Syahir bahawa Kerajaan Perpaduan bersikap federalisme terhadap Kerajaan Negeri Kelantan sehingga ketinggalan jauh berbanding negeri lain tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, beliau berkata, peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan kepada Kelantan adalah lebih tinggi berbanding yang diterima kerajaan pimpinan Pas itu semasa zaman pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pandangan itu tidak mengikut fakta. Saya sudah beritahu peruntukan Kelantan paling tinggi untuk tebatan banjir, bantu air bersih dan pembangunan.

“Itu lebih banyak daripada apa yang diberikan oleh Pas dan Bersatu semasa kerajaan sebelum ini.

“Jadi mana dia kata dianaktirikan,” katanya selepas berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik APR ke 36 di sini hari ini.

Dalam Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Rafizi Ramli yang disiarkan oleh Awani malam semalam, Ahli Parlimen Bachok itu mendakwa Kelantan menjadi negeri termiskin kerana dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Anwar sebaliknya menggesa Mohd Syahir supaya lebih menumpukan usaha penyelesaian masalah kerajaan negeri.

“Semasa dalam kerajaan, semua cadangan penting kerajaan Kelantan saya telah terima tetapi mereka sibuk soal lain,” tegas Perdana Menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button