Bersederhana dalam berpolitik, pertahankan perpaduan – Fahmi
DENGKIL – Orang ramai diseru bersederhana dalam berpolitik demi mempertahankan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, peranan itu harus diambil oleh semua lapisan masyarakat dengan mengelakkan sebarang perkara berunsur negatif yang boleh memecahbelahkan negara.
“Perpaduan dalam kalangan mesti kita raikan dan dihidupkan, justeru bersederhanalah dalam kita berpolitik jangan sampai berpecah belah.
“Itu yang diingatkan Raja-raja Melayu dan diperjuangkan juga Bapa-bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia dan juga Bapa Perpaduan, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman,” jelasnya.
Fahmi berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil serta Majlis Penyerahan Watikah Penubuhan Rasmi Komuniti MADANI di sini, hari ini.
Fahmi turut menyentuh titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini yang menasihati rakyat supaya tidak dihanyutkan oleh isu-isu yang boleh mencetuskan perpecahan.
Tambahnya turut mengangkat kepimpinan dan sumbangan Dr Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua Malaysia yang penting untuk rakyat ingati serta jiwai setiap perjuangannya.
“Perjuangan almarhum bukanlah perjuangan politik namun perjuangan untuk menegakkan sebuah negara bangsa dengan rakyat yang hidup, berlandaskan rukun, aman damai, dan bersatu padu.
“Kerencaman sama ada dari segi tempat tinggal, komuniti, bangsa, kaum atau agama yang ada ini adalah satu keistimewaaan bumi bertuah bernama Malaysia dan tiada tempat lain dalam dunia ni seperti kita maka kita wajib pertahankan perpaduan ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Fahmi menegaskan Komuniti MADANI bukanlah berunsur politik, namun bertindak sebagai pemudah cara, lidah, telinga, mata, kaki dan tangan untuk rakyat bersama Jabatan Penerangan menyampaikan dasar kerajaan terutama bagi Kerajaan Perpaduan, kerajaan pusat serta kerajaan persekutuan.