Berita SemasaPM X

Semak kesahihan kenyataan disebar menerusi media sosial – PM Anwar

KUANTAN – Golongan muda digesa supaya menyemak kesahihan sebarang kenyataan yang disebar menerusi media sosial supaya tidak tertipu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media sosial merupakan teknologi baharu yang perlu dimanfaatkan namun sering disalah gunakan untuk penipuan dan menyebarkan berita tidak benar.

“Sebagai contoh ada kenyataan melalui media sosial ini menyebut kalau sokong parti tertentu Allah restu, kalau tidak sokong jadi musuh Allah.

“Begitu juga tentang dakwaan kononnya saya zalim, menindas dan menganaktirikan negeri pembangkang. Kalau tidak fikir sebaiknya, ada yang anggap kenyataan itu betul, jadi timbul perasaan marah.

“Sebab itu kena semak. Jangan kerana cerita seminit kita kagum dan mudah tertipu sehingga menghukum tanpa fakta sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Temu Anwar bersama anak muda di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Kira-kira 2,000 golongan muda terutama pelajar dari pelbagai institusi pendidikan di sekitar Kuantan hadir pada program yang bermula pada pukul 2 petang itu.

Anwar berkata, media sosial sangat penting dan pada masa sama pengguna terutama golongan mudah perlu dilatih supaya menggunakan kemudahan itu dengan baik.

“Sebab itu saya tekankan supaya semak, dapat maklumat dan fakta yang sebenarnya,” kata Anwar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button