Berita Semasa

Kerajaan negeri Kelantan teruskan perkhidmatan bas percuma mahasiswa pulang mengundi

TANAH MERAH – Kerajaan negeri akan meneruskan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun menafikan perkhidmatan berkenaan dilihat seolah-olah untuk membeli undi, sambil berkata ia merupakan satu janji kerajaan negeri kepada rakyat.

“Ada pelajar IPT yang tidak mempunyai kewangan mencukupi tetapi pada masa sama mahu menjalankan tanggungjawab mengundi.

“Jadi kita membuat keputusan menyediakan perkhidmatan bas percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15), malam tadi.

Beliau pada masa sama mahu pihak terbabit memberi penjelasan mengenai isu berkenaan bagi memudahkan pelaksanaannya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, pengundi perlu tahu hak sebagai pengundi dan bertanggungjawab untuk pulang mengundi tanpa berharap menerima sebarang ‘pertolongan’ daripada calon bertanding.

Beliau turut memaklumkan, pemberian wang kononnya sedekah, bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya merupakan suatu kesalahan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagaimanapun, tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada belia Terengganu baru-baru ini dianggap tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Ahmad mendakwa, kenyataan berhubung pemberian geran di Terengganu jelas mahu membeli undi, namun dikatakan sebaliknya.

“Kita di peringkat negeri masih lagi kerajaan walaupun kerajaan caretaker dan boleh melakukannya sebagaimana kerajaan pusat.

“Jika macam itu pun bukan rasuah, jadi yang sebenar rasuah adalah macam mana?” katanya.

Justeru Ahmad berkata, pihak berkenaan perlu ada panduan berkaitan pelaksanaan yang dilakukan itu sama ada berbentuk rasuah atau sebaliknya.

Show More

Related Articles

Back to top button