Seri Perdana dari luar nampak cantik, tapi dari dalam tak boleh diduduki – Marzuki
KUALA LUMPUR – Pengubahsuaian Seri Perdana yang menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri bukan satu pembaziran tetapi perlu dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan berlaku susulan kebocoran di beberapa bahagian bangunan tersebut.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Pedana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad berkata, kebocoran itu menyebabkan beberapa bahagian bangunan itu melibatkan bumbung, siling, dinding dan lantai rosak.
“Saya diberitahu peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang telah usang dan perlu diganti baharu.
“Selain itu, Seri Perdana juga telah diubahsuai sebelum ini menyebabkan keadaannya yang asal telah berubah. Kebanyakan perabot juga telah tiada.
“Ini kerana terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan samada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri telah memberikan keutamaan kepada perkara yang salah.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, antara tindakan yang diambil oleh Muhyiddin adalah membaiki Kompleks Seri Perdana, walaupun kediaman rasmi Perdana Menteri itu didakwa masih dalam keadaan cantik.
Mengulas lanjut, katanya, bangunan tersebut dari luar kelihatan cantik, tetapi di dalamnya tidak boleh diduduki.
Malah katanya, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali kedua, beliau juga tidak tinggal di bangunan itu.
“Oleh sebab itu, kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian terpaksa dilaksanakan untuk membolehkan ia diduduki dan mengembalikan Seri Perdana kepada keadaannya yang asal.
“Bangunan mana pun kalau tak dibaiki, tak diduduki dan dibiarkan rosak begitu sahaja, lama kelamaan kerosakannya akan menjadi lebih teruk dan kosnya akan lebih meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Marzuki berkata, bagi mengelakkan berulangnya isu melibatkan bangunan itu, Muhyiddin turut mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu melaksanakan dua perkara.
“Pertama perlu ada inventori yang lengkap semua harta kerajaan di Seri Perdana supaya tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang boleh mengambil mana-mana perabot atau hiasan di Seri Perdana selepas bersara, kecuali barangan milik peribadi.
“Selain itu perlu ada satu akta mengenai Seri Perdana sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubahsuai sesuka hati. The original state of Seri Perdana must be preserved.
“Alhamdulillah, setelah dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana telah boleh didiami oleh Perdana Menteri Malaysia dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi. Perdana Menteri Ke-10 juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana,” katanya.