Berita Semasa

Penyokong Bossku ikrar sokong PN

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia yang menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini selepas hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz, langkah itu dibuat demi keadilan terhadap Najib yang dilihat nasibnya tidak dibela oleh Presiden UMNO itu.

“Selama ini kami mengambil sikap bersangka baik kepada Presiden UMNO berkenaan keadilan Najib tetapi Zahid Hamidi diam menikus apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup pintu keadilan, walaupun ada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya boleh mencetus perbicaraan semula yang lebih adil.

“Nyata sekali Zahid tiada keinginan untuk memberi keadilan kepada Najib. Kami sudah tidak selesa lagi apabila Zahid Hamidi terus menerus mempergunakan kami untuk menyokong beliau dengan menunggang nama Najib,” katanya dalam sidang media.

Syed Muhammad Imran

Menurut Syed Muhammad Imran lagi, berikutan itu pihaknya secara terbuka akan memberikan sokongan kepada PN dalam PRN ini supaya kesatuan ummah dapat dikembalikan dan menolak penguasaan DAP yang merupakan musuh tradisi UMNO.

Pada masa sama, beliau berharap kepimpinan PN akan menerima mereka untuk bersama-sama demi keadilan undang-undang sepenuhnya untuk Najib dan semua rakyat Malaysia.

“Ahli-ahli UMNO sering dimomokkan bahawaTan Sri Muhyiddin Yasin yang memenjarakan Najib. Tuduhan ini tidak tepat sama sekali. Najib dipenjara selepas Muhyiddin dipaksa meletak jawatan hasil percaturan Zahid Hamidi.

“Kami penyokong Bossku tidak terikat dengan mana-mana individu lain tetapi sebagai ahli UMNO kami telah hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO kerana dia menjadikan seolah-olah parti UMNO ini milik individu, sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button