Berita Semasa

Muhyiddin sama Anwar RM200 juta

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa difitnah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda memfailkan saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui penyataan tuntutan yang difailkan melalui firma guaman Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, Muhyiddin menuntut pampasan RM200 juta daripada defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhyiddin berkata, Anwar memberikan ucapan yang memfitnahnya ketika sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan 2023 di Serdang, Selangor pada 7 Julai lalu.

Ucapan itu katanya, telah disiarkan secara langsung melalui ‘Facebook Live’ Anwar Ibrahim.

Muhyiddin berkata, beliau telah menjelaskan pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion sudah dilaksanakan pada 2021 ketika menjadi Perdana Menteri melalui siaran Facebook pada 8 Julai lalu.

Bagaimanapun Anwar terus memfitnahnya dan menyatakan hutang masih tidak dilupuskan ketika berucap pada sesi dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Julai lalu.

“Pada 13 Julai lalu, apabila menyedari hutang peneroka sudah dilupuskan pada 2021, defendan (Anwar) memutarbelitkan kenyataan fitnah pertama dan kedua dengan menyatakan walaupun Majlis Jemaah Menteri meluluskan RM8.3 bilion, tiada peruntukan kewangan dan oleh itu terpaksa membuat peruntukan baru-baru ini.

“Jelas sekali, defendan kini mengakui bahawa pelupusan hutang sudah dilaksanakan ketika saya menjadi perdana menteri, namun beliau tetap meneruskan dakwaan palsu dan jahat terhadap saya.

“Tanpa mengendahkan tuntutan peguam saya, Anwar berterusan menyebarkan fitnahnya dan pada 19 Julai lalu ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Selangor, defendan mengisytiharkan akan mengemukakan dokumen membuktikan beliau menandatangani pelupusan hutang itu.

“Akibat penerbitan fitnah itu, ia menjejaskan integriti, nama dan reputasi saya kerana orang ramai mempercayai bahawa kenyataan fitnah berkenaan adalah benar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button