Luar Negara

Wakil kerajaan Taliban adakan lawatan tidak rasmi ke Indonesia

JAKARTA – Wakil kerajaan Taliban dilaporkan mengadakan lawatan tidak rasmi ke Indonesia pada awal bulan ini.

Perkara itu disahkan Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah.

Bagaimanapun, tiada mesyuarat rasmi antara pegawai kerajaan Afghanistan dan Indonesia dibuat ketika itu, kata Faizasyah.

Beliau turut menjelaskan, kumpulan yang membuat lawatan itu juga tidak boleh disifatkan sebagai delegasi kerana perkara tersebut memerlukan formaliti berbeza.

“Pemahaman saya ialah mereka berada di Jakarta secara tidak rasmi untuk urusan dalaman dengan misi Afghanistan di sini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Hafiz Zia Ahmad menerusi laman Twitter pada 14 Julai mendakwa, seorang diplomat tertinggi kerajaan mengadakan pertemuan dengan ahli politik di negara majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia itu.

Hafiz dalam ciapannya berkata, wakil Afghanistan turut bertemu dengan diplomat dari Sri Lanka, Bangladesh dan Singapura semasa berada di Jakarta.

Lapor Arab News, pentadbiran Taliban yang mengambil alih kuasa selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2021 sedang cuba untuk mendapatkan pengiktirafan pemerintahannya di seluruh dunia Islam, termasuk menyantuni Indonesia bagi meningkatkan hubungan politik dan ekonomi.

Tetapi kerajaan Taliban masih tidak diiktiraf secara rasmi oleh Indonesia serta mana-mana negara atau badan dunia sejak meneruskan pemerintahannya di Afghanistan.

Show More

Related Articles

Back to top button