Berita Semasa

Salahuddin Ayub meninggal dunia – anak

ALOR SETAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menghembuskan nafas yang terakhir pada pukul 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di sini.

Berita sedih itu disahkan oleh anak perempuannya, Fatihah Salahuddin sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu tular berita kematian Ahli Parlimen Pulai itu di media sosial.

Namun, berita itu dinafikan oleh setiausaha akhbarnya dan meminta orang ramai tidak menyebarkan khabar angin tersebut.

Salahuddin semalam telah selesai menjalani pembedahan otak berikutan mengalami pendarahan dalaman.

Beliau sebelum itu menghadiri satu program di Kedah.

Sementara itu, menurut setiausaha akhbarnya, Syakirin Husnal, jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.

Beliau berkata, pihak Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

“Sehubungan dengan itu, pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham
selama ini.

“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button