Berita Semasa

Hutang peneroka: Muhyiddin teruskan tindakan saman terhadap PM

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam berhubung isu pelupusan hutang peneroka FELDA.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini kerana dokumen yang didedahkan oleh Perdana Menteri itu bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka FELDA tetapi dokumen itu berkenaan sukuk.

“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka FELDA.

“Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, siaran media oleh Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka FELDA sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun diselesaikan pada tahun 2021.

“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan.

“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri mengemukakan dokumen perjanjian berkait pelupusan hutang peneroka Felda selepas didesak oleh Muhyiddin semalam.

Dokumen yang ditandatangani beliau itu merupakan sebahagian daripada dokumen Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan berkaitan perkara itu.

Dokumen tersebut ditandatangani oleh bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh; Pengarah Besarnya, Datuk Amiruddin Abdul Satar bersama-sama tandatangan Anwar selaku Menteri Kewangan.

Show More

Related Articles

Back to top button