Berita Semasa

Kerajaan sedia suntuk RM3 bilion untuk penanaman padi lima musim

ALOR SETAR – Kerajaan akan menyediakan peruntukan berjumlah RM3 bilion bagi projek penanaman padi lima musim bagi tempoh dua tahun di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menjayakan projek berskala besar itu, kerajaan memberi komitmen untuk membangunkan kemudahan dan juga infrastruktur yang dirasakan perlu dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Pembangunan itu termasuk menaik taraf jalan, tali air dan saliran sawah di kawasan sawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 201,000 hektar.

“Saya luluskan RM3 bilion hari ini, kita kena buat untuk tingkatkan produktiviti pengeluaran padi.

“Itu sebabnya saya cakap kena jimat belanja, sementara nak tunggu dapat hasil, kita bagi RM200 sebulan selama tiga bulan kepada 300,000 pesawah sementara dapat tuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Peladang, Penternak, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil di Ibu Pejabat MADA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh.

Perdana Menteri berkata, projek tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian, MADA dan Padiberas Nasional Bhd. (Bernas).

“Saya berharap semua pesawah dapat memberikan kerjasama penuh kepada MADA dan Bernas untuk menjayakan projek ini dalam usaha untuk meningkatkan hasil,” katanya.

Menurut Anwar, projek tersebut perlu dilakukan secara berskala besar kerana program rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun itu sudah menunjukkan hasil yang positif.

Sehubungan itu beliau berharap pesawah dapat memberi kerjasama kepada setiap agensi pelaksana di kawasan masing-masing bagi menjayakan usaha ke arah tanaman padi dua tahun lima musim.

“Kita nak pesawah mendapat pendapatan yang betul-betul tinggi iaitu dari RM1,200 naik kepada RM1,800 sebulan. Dengan cara sedemikian, kita juga dapat selesaikan masalah negara daripada segi keterjaminan makanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan kerajaan sudah berbincang bersama syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi membantu usaha ini terutamanya di kawasan MADA yang mempunyai kawasan tanaman padi seluas 201,000 hektar.

“Saya cakap dengan Syed Mokhtar (Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary), untuk pesawah ini bagi sedikit, tahun lepas dapat RM10 juta, tahun ini dapat RM50 juta bagi terus kepada pesawah, dia (Syed Mokhtar) tak susah pun.

“Bila saya nak bantu petani, mereka serang kata saya tekan orang Melayu kaya, saya tak sakau duit dia, bukan minta masuk akaun sendiri atau parti,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button