Pemilik ‘Megah Holding’ kongsi pengalaman urus syarikat ratusan juta pada usia 34 tahun
Tidak memilih bidang, rebut apa sahaja peluang di depan mata jadi resipi kejayaan anak kelahiran Miri ini
DAMANSARA – Tiada impian yang terlalu sukar untuk dicapai, namun laluan mengejar sesebuah cita-cita dan kejayaan sudah pasti menuntut usaha dan kesabaran.
Itulah yang menjadi pegangan anak kelahiran Miri, Sarawak, Amin Aznizan, yang menerajui beberapa perniagaan pelbagai industri bernilai lebih RM100 juta pada usia 34 tahun.
Pada ketika ini, Amin merupakan Pengarah SMTC Global, sebuah syarikat penyedia kursus dan persijilan keselamatan pekerjaan dalam industri minyak dan gas (O&G).
Beliau juga adalah pengarah dan pengasas AnakMiri Kitchen, sebuah syarikat dalam bidang makanan dan minuman (F&B) yang memiliki tiga lagi jenama restoran iaitu Kedey Kamek, Seahorse Seafood dan Nang Haus.
Anak sulong daripada tiga adik beradik itu juga adalah Pengarah Urusan SOCC Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia katering ke pelantar-pelantar minyak di perairan negara ini.
Berperwatakan sopan dengan percakapan yang penuh tertib, Amin mengakui di sebalik pencapaian itu, banyak pengorbanan yang dilalui terutama ketika rakan-rakan yang lain menikmati sepuasnya zaman muda.
Bahkan langkah pertama beliau dalam dunia perniagaan bermula ketika masih belajar di universiti.
Katanya, penglibatan pertama adalah ketika masih mengikuti program Sarjana Muda di Perancis. Ketika itu katanya, beliau diberi kepercayaan oleh bapanya untuk menguruskan perniagaan sabun organik, Borneo to the World yang bertapak di Kuching, Sarawak.
“Sememangnya sejak dari kampus lagi saya sudah terdedah dengan dunia perniagaan. Semasa belajar di United Kingdom dan Perancis, ketika rakan-rakan lain menikmati sepenuhnya kehidupan di ‘oversea’, saya banyak uruskan bisnes sabun saya di Kuching,” katanya.
Berbekalkan secebis pendedahan asas-asas perniagaan oleh bapanya, Amin menerima peluang yang tiba sebagai ‘eksperimen’ untuk mempraktikkan ilmu perniagaan yang dipelajarinya di kampus.
Namun seperti usahawan-usahawan lain, Amin tidak terlepas daripada sepak dan terajang dunia perniagaan apabila mengalami kerugian selepas pelaburan berjumlah RM4 juta tidak memberi pulangan setimpal.
“Itulah antara cabaran yang paling tidak dapat saya lupakan. Tetapi saya mempunyai sokongan yang kuat dari ahli keluarga.
“Ayah selalu berpesan bahawa RM4 juta itu adalah harga sebuah pengajaran supaya saya lebih bersedia di masa akan datang,” katanya yang menceburi perniagaan minuman berkarbonat jenama Leema tidak lama selepas itu.
Ketika berusia 27 tahun, Amin berhijrah ke Arab Saudi untuk mengembangkan perniagaan SMTC Global yang menyediakan kursus dan persijilan keselamatan dalam industri O&G kepada pekerja dari seluruh pelusuk dunia.
Dalam kesibukan mengurus bidang yang memerlukan penelitian yang terperinci itu, Amin sempat meneroka perniagaan yang cukup diminatinya iaitu F&B dengan mengasaskan AnakMiri Kitchen yang bermula dengan sebuah restoran hidangan Sarawak di Kuching.
Kini Anak Miri Kitchen mempunyai tiga jenama iaitu Kedey Kamek dengan tiga cawangan, Seahorse Seafood (2 cawangan) dan Nang Haus (3 cawangan).
Selain dalam bidang F&B, Amin juga menguruskan sebuah agensi pelancongan iaitu CQ Travel dan sebuah syarikat hiburan, CQ Music.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai Amin membuka peluang kepada beliau untuk ‘mewarisi’ perniagaan katering persisir pantai yang diasaskan neneknya, iaitu SOCC Holding Sdn. Bhd.
“Pada masa ini kami menyediakan perkhidmatan katering kepada 13 lokasi pelantar dengan kakitangan seramai 600 orang,” katanya yang memperolehi pendapatan berjumlah kira-kira RM35 juta dari syarikat itu pada tahun lalu.
Ditanya tentang resipi kejayaannya, Amin berkata, beliau tidak pernah menetapkan sasaran mengenai bidang yang mahu diceburi sebaliknya cuba memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada.
“Bagi saya pendidikan asas juga penting dalam membentuk karakter diri seseorang, menjadikan kita lebih matang dan mudah bergaul.
“Tapi apa yang paling penting adalah kesungguhan dan komitmen sebaik sahaja kita menceburi sesuatu perkara.
“Kesungguhan hanya memberikan kejayaan tetapi komitmen-lah yang akan memberikan kelangsungan,” katanya.