Berita Semasa

Tengku Zafrul cabar Tun Mahathir dedah identiti pelabur RM500 bilion

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendedahkan butiran pelabur yang didakwa mahu melabur RM500 bilion di Langkawi.

Tengku Zafrul berkata, bekas Perdana Menteri yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu tidak boleh membuat kenyataan tanpa bukti dan asas yang kukuh apatah lagi melibatkan angka pelaburan yang terlalu besar.

Beliau berkata, dakwaan Tun Mahathir bahawa kerajaan tidak memberi layanan kepada pelabur berkenaan juga tidak masuk akal kerana ia tentunya merugikan negara.

“Saya tak kisah siapa yang membawa masuk pelaburan itu sama ada Dr Mahathir, kerajaan atau pembangkang, sebab kalau pelaburan masuk, yang terima manfaat adalah rakyat.

“Jadi saya minta jasa baik Dr Mahathir kongsi butiran pelabur ini. Sedangkan pelabur nak melabur juta-juta pun kita sambut dengan tangan terbuka, inikan pula nak labur RM500 bilion, memang kita bentang karpet merah dari lapangan terbang sampai ke hotel,” katanya.

Dr. Mahathir dalam program bual bicara anjuran Proklamasi Orang Melayu di Shah Alam pada Sabtu lalu mendedahkan ada pelabur yang berhasrat membuat pelaburan berjumlah RM500 bilion di Langkawi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pihak berkenaan sebaliknya berkata, usaha membawa masuk pelabur berkenaan berdepan kesukaran kerana tidak dilayan oleh kerajaan.

Layanan tidak mesra kerajaan itu kata Tun Mahathir menyebabkan pelabur beralih ke negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pelaburan berkata, sekiranya benar dakwaan pelaburan itu wujud, kerajaan akan mempermudahkan kemasukan pelaburan berkenaan.

Apatah lagi jumlah itu katanya akan menjadi rekod pelaburan terbesar buat Malaysia.

“Dalam sejarah pelaburan negara, jumlah pelaburan diluluskan tertinggi ialah RM309 bilion setahun.

“Sejak Malaysia merdeka sampai sekarang, tak pernah ada pelaburan tinggi sampai RM500 bilion.

“Masa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri pun, tak pernah ada pelaburan diluluskan setinggi itu.

“Kena ingat juga, RM309 bilion ini adalah jumlah keseluruhan pelaburan yang dihimpunkan dari pelbagai sumber, bukan dari satu pelabur saja dan pelaburan ini adalah untuk seluruh Malaysia dan bukan hanya di satu lokasi.

“Jika betul ada satu pelabur sanggup labur sampai RM500 bilion di Langkawi saja, ini bakal jadi rekod baharu di Malaysia,” katanya menerusi video di Facebook beliau hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button