Asyraf Wajdi tidak faham konsep ijtihad politik – Annuar Musa
KUALA LUMPUR – Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai persaingan UMNO-Pas sebagai ijtihad politik adalah sesuatu yang mengelirukan.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, hujah yang dikemukakan oleh Dr. Asyraf tidak lain tidak bukan bersifat ‘matlamat menghalalkan cara’ dalam keadaan UMNO dilihat sebagai pemecah kesatuan Islam dan Melayu.
Annuar berkata, sekiranya Dr. Asyraf berfikiran rasional, persaingan antara parti itu tidak diperlukan sebaliknya dimanfaatkan untuk menguatkan lagi penyatuan ummah berlandaskan prinsip taawun atau kerjasama dan taayush (wujud bersama).
Beliau berkata demikian dengan merujuk kerjasama UMNO-Pas yang sebelum ini menjalinkan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) selepas Pilihan Raya Umum ke 14.
Namun, hubungan itu menjadi renggang selepas Pas menyertai Perikatan Nasional dan bekerjasama dengan Bersatu sebelum kedua-dua parti menjadi seteru pada PRU-15 yang lalu.
“Taawun dan taayush sebenarnya sudah terlaksana melalui gagasan MN, tapi telah digagalkan atas kepentingan individu dan bukan atas kepentingan dan prinsip Islam.
“Sekarang ada individu yang cuba mereka-reka istilah bagi menghalalkan tindakan yang salah dan telah membawa padah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Dr. Asyraf dalam kenyataannya terdahulu berkata, persaingan UMNO dan Pas adalah perlumbaan untuk melakukan kebaikan kerana bukan satu permusuhan khususnya dalam akidah Islam.
“Persaingan antara Umno-PAS adalah ijtihad politik iaitu perlumbaan melakukan kebaikan, bukannya permusuhan akidah Islam atau bukan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.