[KEMASKINI] PRN: Penamaan calon 29 Julai, hari mengundi 12 Ogos
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari membuang undi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya turut menetapkan 29 Julai sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal pula pada 8 Ogos ini.
PRN kali ini melibatkan sebanyak 3,450 pusat mengundi dengan 17,425 saluran mengundi diguna pakai bagi proses pengundian di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 kerusi DUN Kelantan, 32 kerusi DUN Terengganu, 40 kerusi DUN Pualu Pinang, 56 kerusi DUN Selangor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Tambah Abdul Ghani, seramai 153,760 orang petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRN ini, selain 245 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 740 Penolong Pegawai Pengurus.
“Manakala bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 252 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.
“Sebanyak 173 pusat penamaan calon (PPC) dan 186 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas SPR, di sini hari ini.