Berita Semasa

Hanya Penguasa Imigresen Gred KP41 ke atas punyai kuasa tolak kemasukan pengembara

PUTRAJAYA – Kuasa untuk memutuskan pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada pengembara akan diberikan kepada Penguasa Imigresen Gred KP41 ke atas berbanding Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan yang dibuat itu merupakan sebahagian langkah memperbaiki pengurusan Jabatan Imigresen (JIM) di pintu masuk negara.

Jelas beliau, NTL diberikan kepada pengembara yang tiba sekiranya gagal menjawab tiga soalan asas iaitu di mana tempat tinggal, adakah mempunyai dana yang cukup, dan sudahkan mempunyai tiket pulang.

“Imigresen adalah pihak berkuasa yang akan membuat keputusan berkait NTL yang mana bergantung pertimbangan kepada tiga soalan asas kepada pengembara yang tiba iaitu di mana tempat tinggal, adakah mempunyai dana yang cukup dan ada tak tiket pulang.

“Langkah membaiki ke depan nanti, Imigresen pada kadar segera akan beri authority untuk memutuskan tentang NTL itu kepada pegawai pengurusan profesional gred 41 ke atas,” katanya hari ini.

Saifuddin berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas, di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan, dalam mesyuarat kabinet yang diadakan hari ini, jemaah menteri memperakui bahawa komitmen, disiplin, dan tahap perkhidmatan yang baik diamalkan oleh pegawai Imigresen namun pada masa yang sama tidak menafikan kewujudan amalan salah laku segelintir pegawai jabatan tersebut.

KDN, jelas beliau, akan memberikan kerjasama sepenuh kepada SPRM untuk menyiasat perkara berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button