Mayat kelapan tragedi kepala air ditemui petang ini
KEMAMAN- Mayat mangsa lemas kelapan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, dekat sini ditemukan kira-kira pukul 3 petang tadi.
Mangsa, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, dijumpai sekitar jarak dua kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kemaman,Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dengan penemuan itu lapan mayat tragedi kepala air telah dijumpai.
“Untuk makluman terkini kita telah menemui satu lagi jenazah pada pukul 3 petang maklumat yang kita terima pemeriksaan dan siasatan kita mengesahkan adalah satu mangsa wanita dan kita bawa balik ke balai polis Air Putih, saya sahkan ianya adalah Putri Alleya yang berusia 16 tahun,” katanya.
Beliau berkata usaha mengesan dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin, 14, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24 masih giat dijalankan.
Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Pada pagi tadi, mayat Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun, dijumpai di belakang Masjid Dadong.
Mayat ditemui sekitar jarak 24 kilometer dari lokasi kejadian.