7 jemaah haji tidak dapat berwukuf
MEKAH – Seramai tujuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia tidak dapat menyempurnakan ibadah wukuf pada Selasa lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tiga jemaah haji berada di hospital Arab Saudi kerana koma dan empat di pusat rawatan Tabung Haji (TH) Makkah akibat masalah kesihatan mental.
“Dua jemaah haji yang koma disebabkan serangan strok dan seorang lagi akibat radang paru-paru akan terus menerima rawatan di fasiliti kesihatan Arab Saudi sehingga doktor membenarkan mereka pulang ke tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu beliau telah melakukan lawatan ke pusat rawatan TH di Syisyah, Mekah bagi mendapatkan perkembangan terkini berkenaan taraf kesihatan para jemaah haji Malaysia.
Dalam pada itu katanya, seramai 54 pesakit pula telah dibawa berwukuf di dalam enam bas khas menerusi program Safari Wukuf.
“Sama-sama kita doakan kesembuhan buat mereka yang diuji dengan kesihatan,” ujarnya.