Berita Semasa

Tuntutan Sulu: Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague kemenangan penting kepada negara – PM

VIENTIANE – Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak untuk mengiktiraf Final Award dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu yang merupakan Pihak yang Menuntut dalam kes Sulu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan ini sekaligus menghalang sebarang usaha oleh Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.

“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, Kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut yang berjumlah hampir USD15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekaligus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain.

Sehingga kini, katanya, Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

“Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani.

“Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman; Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan semua kementerian dan agensi berkaitan, termasuk peguam antarabangsa dan semua pihak yang terlibat dalam usaha ini. Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di ibu negara Laos, Perdana Menteri menambah, “Alhamdulillah kita menang. Malaysia berjaya menamatkan satu episod yang tidak baik pihak yang mencabar kedaulatan negara.”

Show More

Related Articles

Back to top button