Berita Semasa

Projek Kediaman Aspire Residence yang terbengkalai 5 tahun siap September ini

CYBERJAYA- Pembeli-pembeli unit kediaman di Aspire Residence di sini boleh menarik nafas lega susulan projek yang mengandungi 1,168 unit kediaman dan pernah dikategorikan sebagai projek sakit itu bakal disiapkan pada September 2023.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata projek di bawah kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu mula dibina pada 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 2018.

“Kita bersyukur, di bawah pengurusan baharu dan kontraktor penyelamat, akhirnya Aspire Residence hampir siap 100 peratus, yang mana kini pembinaannya mencecah 97 peratus.

“Ia akan disempurnakan menjelang akhir bulan September sebelum CCC dikeluarkan dan kunci diserahkan kepada pembeli. Ini adalah berita baik daripada KPKT untuk semua pembeli,” katanya selepas melawat tapak pembinaan Asipre Residnece di sini hari ini.

Sementara itu Nga berkata bagi menyelamatkan projek berkenaan, SPNB kini mengadakan jualan promosi bagi baki unit yang belum terjual bermula pada harga bermula RM280,000 berbanding harga jualan asal yang mencecah RM450,000 seunit.

Pada masa yang sama Nga berkata pihak SPNB akan mengadakan perbincangan dengan para pembeli berhubung pembayaran Denda Lewat Serah (LAD) bagi mencapai persetujuan terbaik susulan kelewatan penyerahan projek berkenaan.

Aspire Residence

Menurutnya, kecekapan pengurusan menjadi antara faktor penjimatan kos menyebabkan kediaman itu dapat dijual pada harga lebih rendah ketika ini.

“Projek ini antara projek yang sering mendapat perhatian kementerian. Tinjauan saya hari ini adalah untuk memastikan ianya berada pada garis masa yang betul dan sekurang-kurangnya dapat meredakan kerungsingan pembeli,”katanya.

Nga berkata, fokus utama SPNB ketika ini adalah untuk menyelesaikan 12 projek perumahan dari legasi terdahulu dan kesemuanya akan dapat diselesaikan pada hujung tahun ini atau suku pertama tahun 2024.

“Sehingga kini SPNB telah berjaya menyiapkan sebanyak 15,545 unit Rumah Mesra Rakyat sekaligus melangkaui dua tahun lebih awal dari sasaran RMK12,”tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin ketika ditemui sejurus selesai sidang media berkata, pihaknya yakin projek berkenaan akan diserahkan kepada pembeli seperti tarikh dijanjikan.

Beliau juga berkata pembayaran LAD akan dijelaskan kepada pembeli seperti dalam perjanjian jual beli selain bonus khas akan diberikan kepada pembeli awal susulan jurang harga jualan yang ketara.

Show More

Related Articles

Back to top button