Polis siasat kes kematian mengejut pelajar 15 tahun
LUMUT – Pihak polis membuka satu kertas siasatan susulan kes kematian mengejut seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di Hospital Seri Manjung (HSM) pada awal tengah malam Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina itu pada pukul 4.38 petang semalam.
Mohamed Nordin berkata, siasatan dengan pihak sekolah mendapati pelajar itu tidak sihat kerana mengalami kesakitan di bahagian kaki dan terpaksa menggunakan tongkat ketika hadir ke sekolah itu kira-kira pukul 7.30 pagi Jumaat lalu.
“Pihak sekolah kemudian menghubungi ibu bapa pelajar tersebut dan memberitahu keadaan anaknya yang tidak sihat ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelajar itu kemudian dibawa pulang oleh ibu bapanya ke rumah, sebelum dibawa ke Unit Kecemasan HSM untuk mendapatkan rawatan selepas keadaan kesihatannya tidak berubah.
Jelasnya, pelajar itu kemudian dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pukul 10.10 malam hari sama sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 12.06 malam.
Mohamed Nordin menjelaskan, pegawai perubatan HSM mengesahkan punca kematian pelajar tersebut adalah akibat daripada darah beku tersumbat di paru-paru.
“Ekoran daripada kejadian itu, IPD Manjung telah membuka satu kertas siasatan mati mengejut untuk siasatan lanjut.
“Pada masa sama, kami menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian ini,” katanya lagi.