Politik

PRN: Agihan kerusi PN dimuktamad Rabu depan – Hamzah

MARANG – Agihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimuktamadkan pada Rabu depan, umum Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut Hamzah, perbincangan mengenai agihan kerusi itu sudah diadakan beberapa kali dan setakat ini, terdapat beberapa kerusi yang belum diselesaikan.

Kata Ahli Parlimen Larut itu, persidangan Majlis Presiden pada minggu depan akan menyelesaikan sebarang isu yang ada, seterusnya memuktamadkan jumlah agihan kerusi dalam parti komponen PN.

“Majlis Presiden akan bersidang pada minggu depan untuk tandatangan (dan selepas itu) tidak ada lagi (perbincangan), hanya umumkan sahaja.

“Bila sudah ada kerusi yang telah pun kita serahkan, maka calon itu kita serahkan juga kepada parti komponen (untuk pemilihan calon).

“Contohnya, kalau kita sudah serahkan di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Berangan ini kepada PAS, (jadi) PAS cari calon yang sesuai untuk kawasan ini. Begitulah cara (pemilihan calon) yang akan kita tentukan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Marang di pekarangan Pasar Binjai Rendah di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan rundingan kerusi DUN bagi PN di enam negeri sudah mencapai 97 peratus atau 240 daripada 245 kerusi.

Show More

Related Articles

Back to top button