Luar Negara

Indonesia akan bina loji nuklear di Pulau Gelasa

BANGKA – Indonesia akan meneruskan rancangan membina sebuah loji tenaga nuklear di Kepulauan Bangka Belitung.

Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Dewan Tenaga Nasional (DEN), Agus Puji Prasetyono ketika mengunjungi Pejabat Gabenor Bangka Belitung, kelmarin.

Menurut Agus, keputusan itu dibuat selepas DEN menilai kepentingan pemerkasaan tenaga, termasuk tenaga yang dihasilkan dari loji nuklear bagi mendukung program Indonesia Maju.

Beliau pada masa yang sama berkata, penerimaan masyarakat Bangka Belitung terhadap projek itu juga amat baik.

“Ketika ini, DEN masih menilai koordinasi yang lebih menyeluruh dalam menyusun kawasan yang akan terlibat dalam pembangunan loji tersebut.

“Kita juga akan mendorong nuklear sebagai tenaga utama dalam Dasar Tenaga Negara (KEN) kerana ia lebih bersih dan murah,” kata Agus.

DEN merancang untuk menggunakan bahan mineral thorium sebagai sumber tenaga di loji nuklear yang akan dibangunkan.

Agus memberitahu, bahan mineral itu akan diimport dari Korea Selatan sebelum mendapatkan bekalan dalam negara.

Loji nuklear itu dijangka dibangunkan di Pulau Gelasa, Bangka Tengah.

Show More

Related Articles

Back to top button