Berita Semasa

Geng BMW konvoi halang lalu lintas atas Jambatan Kedua Pulau Pinang disaman

BATU KAWAN – Polis menyaman kesemua pemandu kereta mewah yang memandu secara perlahan dan menghalang lalu lintas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) dalam satu video tular semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, rakaman itu menunjukkan deretan kereta mewah dipandu secara perlahan dan menghalang lalu lintas seperti yang didakwa.

“Siasatan lanjut mendapati, kejadian berlaku pada 9 Jun (Jumaat) kira-kira pukul 12.30 tengah hari bermula dari KM (Kilometer) 3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9.0 arah ke Batu Maung.

“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 167/59 kerana melakukan halangan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Mohd. Norazmi, kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam, kesemua pemandu berkenaan telah hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) SPS untuk memberikan keterangan dan telah dikenakan saman.

“Dalam hal ini, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Masyarakat juga diminta supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas di atas jalan raya,” ujar beliau.

Terdahulu, rakaman video berdurasi kira-kira dua minit dan 50 saat itu telah dimuat naik ke dalam akaun Tik Tok milik seorang pengguna atas nama ‘panglimaperang’ kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Dalam video itu menunjukkan konvoi kenderaan BMW dipandu secara perlahan di ketiga-tiga lorong Jambatan Kedua Pulau Pinang itu.

Show More

Related Articles

Back to top button