Ibu pelajar cemerlang meninggal dunia
BACHOK – Ibu kepada pelajar cemerlang, Muhammad Syahril Saidi yang memperoleh 11A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, meninggal dunia malam tadi.
Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar kira-kira pukul 8 malam.
Perkara itu disahkan oleh Penghulu Mukim Kandis, Razali Yasod sambil berkata, dia mengetahui berita kematian ibu pelajar cemerlang berkenaan pada waktu Maghrib.
Sejurus mendapat tahu berita itu, kata Razali, dia terus ke rumah Muhammad Syahril, 18, dan setakat ini lebih 30 ahli keluarga dan orang ramai hadir ke rumah pelajar itu di Kampung Kandis.
“Difahamkan, jenazah akan disembahyangkan di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang Lati, iaitu kampung asal arwah.
“Ketika ini saya masih berada di rumah Muhammad Syahril untuk membantu dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika dihubungi media..
Terdahulu, kisah Muhammad Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu menjaga ibunya yang terlantar sakit, namun berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang diumumkan, Khamis lalu.
Muhammad Syahril menerima keputusan SPM daripada pihak sekolah yang hadir ke rumahnya kerana dia tidak dapat ke sekolah disebabkan perlu menjaga ibunya yang tidak sihat disebabkan menghidap penyakit angin ahmar sejak 2019.
Pemergian Tuan Faridah yang dipanggil Umi oleh Muhammad Syahril turut dikongsi pemimpin setempat dan laman kumpulan di media sosial seperti Perantau Bachok sejak malam tadi.