Pemuda UMNO tuntut DAP mohon maaf secara terbuka
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan terhadap parti itu sebelum ini sehingga mengguris hati semua ahli parti.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.
“Pemuda UMNO menuntut DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap yang kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, rasis.. tidak sama sekali akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ini.
“Kalau masa mahu tubuh Kerajaan Perpaduan dulu, DAP boleh terbang ke Sarawak berjumpa dengan GPS, minta maaf.
“Maka hari ini, kalau mahu lembutkan hati orang UMNO, kalau suci mahu menjalin tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik tohmahan diberi kepada UMNO dulu.
“Kalau jujur, kenapa dengan GPS boleh, kenapa tidak buat dengan kita. Saya mohon kepimpinan DAP kalau mahu nak menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini, mahu hati orang UMNO lebur, maka satu tuntutan maaf kepada DAP atas tohmahan selama ini, mesti dilakukan segera,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.
Pemuda UMNO kekal dengan pendirian tidak menjemput wakil daripada mana-mana parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, selain parti komponen Barisan Nasional (BN).
Berbeza Wanita dan Puteri yang mana pentas persidangan dua sayap itu dilihat dihadiri pemimpin PH termasuk DAP yang membentuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.