Jokowi lawat Malaysia hari ini, bincang isu tertunggak kedua negara
PUTRAJAYA – Presiden Indonesia, Joko Widodo bakal mengadakan lawatan kerja ke negara ini bermula hari ini dalam usaha meningkatkan hubungan erat dua hala yang telah lama terjalin.
Joko Widodo atau Jokowi akan diiringi oleh Ibu Negara Iriana Joko Widodo dan barisan menteri kabinet Indonesia serta pegawai-pegawai kanan kerajaan republik itu.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jokowi dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menilai kemajuan bidang kerjasama dan membincangkan isu-isu dua hala yang tertunggak.
“Perdana Menteri dan Presiden juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan berkenaan
perkembangan isu-isu serantau dan global termasuklah pengukuhan ASEAN pasca 2025.
“Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian
yang akan ditandatangani oleh wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan dari kedua-dua buah negara,” menurut kenyataan itu.
Jokowi juga dijadual menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Pada tahun 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (USD 29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (USD 22.98 bilion) pada tahun 2021.