Penyalahgunaan media sosial : Menteri Komunikasi arah Pengerusi MCMC bertindak segera
CYBERJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menyatakan kebimbangan kerajaan terhadap insiden-insiden penyalahgunaan platform media sosial yang semakin serius di negara ini.
Bagi menangani masalah itu, beliau mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din mengambil tindakan tegas dan segera.
“Kita lihat saban hari masalah media sosial semakin membelenggu rakyat, sama ada sebaran berita palsu, mangsa penipuan (scam) dan terkini mangsa buli siber sehingga ada yang membunuh diri.
“Di depan semua termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan ahli jemaah menteri, saya minta awak (Pengerusi MCMC) lakukan sesuatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Fahmi selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, bagi membendung masalah penyalahgunaan media sosial, kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas termasuk kepada pengendali platform dalam masa terdekat.
“Selepas ini semua media platform (media sosial) harus bertanggungjawab dan insyallah kita akan ada satu tindakan yang sangat tegas dalam masa beberapa hari ini.
“Nantikan apa yang kita akan lakukan demi keselamatan tuan-tuan dan puan-puan terutama untuk anak-anak dan juga keluarga,” katanya.
Katanya, hasrat kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada untuk menyediakan perkhidmatan yang laju tetapi untuk memastikan medium itu lebih selamat untuk dimanfaatkan.
Fahmi turut mengingatkan rakyat kepada pesanan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kepada rakyat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai plaform untuk berbalah dan membuka aib.
“Baginda turut mengingatkan rakyat jelata agar tidak bersikap keterlaluan, terutama dalam isu berkaitan
dengan kaum dan agama. Sesungguhnya, perpecahan tidak akan memenangkan sesiapa,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan penganjuran Karnival Kita MADANI X HKHM yang merangkumi aktiviti pameran perkhidmatan dan keusahawanan, kerjaya, pendidikan, kesihatan, persembahan patriotik, seni budaya, hiburan dan aktiviti interaktif kenegaraan.
Karnival tersebut diterajui oleh Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan (JAPEN) dengan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang diselaraskan oleh JAPEN negeri.
Konvoi melibatkaan sebanyak 88 checkpoint yang bakal menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang kepada Pengarah Penerangan Negeri di setiap sempadan negeri.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune