Wanita warga emas maut, dipercayai didera ahli keluarga
ARAU – Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat mendera seorang wanita mualaf warga emas sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, di sini hari ini.
Polis menerima maklumat pada 5.30 pagi apabila mangsa, 74, berasal dari Paka, Terengganu dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar sejam sebelum itu kerana tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada Pegawai Perubatan dari Unit Kecemasan HTF yang mengatakan bahawa mangsa meninggal dunia disyaki dipukul.
Katanya, wanita itu dikejarkan ke hospital pada 4.10 pagi disebabkan tidak sedarkan diri dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia.
“Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menjalani proses bedah siasat, 3 petang tadi dan hasil keputusan bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada tubuh mangsa iaitu kesan lebam di bahagian kedua-dua belah mata, dahi, ubun kepala, lidah sisi kiri akibat tekanan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Katanya, tiga tulang rusuk kiri mangsa juga patah akibat tekanan namun sehingga kini punca kematian belum dapat disahkan dan diklasifikasikan serta sedang menunggu keputusan makmal.
Katanya, anak perempuan mangsa, 34, mengaku memukul mangsa menggunakan tangan pada bahagian muka dan kepala, pagi semalam manakala suaminya, 34, turut disyaki terbabit berdasarkan keterangan yang meragukan.
Ahmad Mohsin berkata, sebelum wanita itu meninggal dunia berlaku pertengkaran antara mangsa dan anaknya itu.
“Punca pertengkaran adalah disebabkan suspek tidak tahan dan tertekan dengan kerenah serta ragam mangsa sedangkan wanita itu dipercayai menderita akibat sakit strok di bahagian badan sebelah kiri.
“Suspek wanita adalah suri rumah manakala suaminya adalah ahli perniagaan bagaimanapun tidak mengaku membunuh mangsa dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.