Muhyiddin sedia bekerjasama dengan Mahathir
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat untuk sedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Muhyiddin dalam satu kenyataan di media sosialnya, berkata kerjasama itu adalah demi perjuangan membela agama, bangsa, dan negara.
“Saya menyambut baik kenyataan Dr Mahathir yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.
“Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.
“Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.
Kenyataan terbaru daripada Muhyiddin tersebut, mungkin akan menyaksilan kedua-dua bekas Perdana Menteri itu akan kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.