Rangka manusia prasejarah dijumpai di Kelantan
PUTRAJAYA – Rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain dijumpai di Gua Keledung Kecil di Lembah Nenggiri, Kelantan, November lalu.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, rangka itu ditemukan semasa kerja-kerja ekskavasi arkeologi menyelamat Projek Hidroelektrik Nenggiri oelh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli.
“Penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Keledung Kecil merupakan antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara. Secara tidak langsung, ia dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosio-budaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya.
Katanya, kedudukan melipat sepenuhnya ini merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung.
“Selain itu, perkara menarik berkenaan rangka ini adalah asosiasi artifak yang berada di sekelilingnya yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur. Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan.
“Di sekeliling rangka juga terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati, antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat
prasejarah,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun
yang lalu.
Sementara itu, katanya, sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.
“Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah ini akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh,” katanya.